Pembaca Setia

Rakan Pembaca

Thursday, September 5, 2013

BUDAYA PALUAN KOMPANG KAHWIN KIAN TERPINGGIR

Artikel ini disiar dalam Dewan Budaya keluaran September 2013

BUDAYA PALUAN KOMPANG KAHWIN KIAN TERPINGGIR
Muhammad Nuruddin Bashah
Bc Hons Eng UM

Menjelang cuti sekolah antara agenda utama yang perlu disusun dalam jadual harian adalah senarai jemputan kenduri kahwin. Kita sebagai orang melayu yang berpegang dengan adat dan syariat Islam pasti akan berasa bersalah jika tidak dapat memenuhi jemputan kahwin baik kaum kerabat mahupaun sahabat handai dan rakan sekerja.
Sedar atau tidak kini sambut majlis ‘walimah al urus’ kaum Melayu Malaysia kian berubah sepantas perubahan budaya global akibat pengaruh geografi, sosio-budaya, pekerjaan dan taraf hidup.
Ramai yang mungkin hanya memfokuskan isu catering yang kini menggantikan budaya gotong royong dan adat bentara. Jika dahulu semua ahli kariah kampong seolah-olah meajibkan diri bertugas memastikan sesuatu kenduri kahwin dalam kariah itu berjalan dengan lancer dan anak muda akan menunggu sambil membantu hingga lewat petang.
Kini segala-galanya diswastakan kepada para kontraktor dan katering sahaja. Jadual kenduri juga disingkatkan daripada tamat jam 5 petang disingkatkan ke jam 3 petang sahaja.
Perkara yang ingin difokuskan oleh penulis dalam makalah ini adalah budaya paluan kompang. Penulis agak terkejut dan sedih apabila melihat rata-rata kenduri hari ini bukan sekadar tidak menjemput pasukan paluan kompang, hadrah dan sebagainya, malah mengambil jalan mudah dengan hanya membunyikan paluang kompeng menggunakan CD dan MP3!
Bunyinya mudah tanpa perlu diupah dan tanpa bayaran mahal. Malah paluan kompang menggunakan CD boleh dipasang berjam lamanya. Tetapi adakah kita boleh merasai semangat bunyi paluang kompang tersebut? Mungkin si Tuan rumah kenduri berkenaan tidak berasa berbezanya semangat yang terhasil melalui bunyi paluan kompang secara langsung. Inilah krisis keterhakisan budaya yang kini menjangkiti masyarakat Melayu hari ini. Dismaping menyadur budaya popular luar, budaya asal yang positif, baik dan bermanfaat seperti paluan kompang kian dipinggir.
Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, kompang adalah gendang seperti rebana yg dipukul dengan sebelah tangan. Manakala Kamus Dewan Edisi Keempat kompang adalah sejenis rebana yg dipukul beramai-ramai dengan bunyi riuh-rendah di majlis perkahwinan1.
Adat paluan kompang adalah sejajar dengan syara’
Paluan kompang sebenarnya selaras dengan ruang lingkup syarak dan ia disebut dalam beberapa hadis Nabi.
Misalnya dalil yang paling popular adalah hadis yang diriwayat oleh Saidatina Aisyah, bahawa pada hari raya aidilfitri atau aidilddha, Abu Bakar (bapanya) masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Rasulullah berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakar berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali).


Nabi bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakar! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dijelaskan juga dalam riwayat Muslim menyatakan wanita-wanita itu memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.
Hadis ini menunjukkan sikap toleransi Nabi yang tidak melarang hiburan dalam bentuk nyanyian sekalipun berlaku dalam rumah Baginda. Nabi tidak bersikap keras mengenai hiburan yang kena pada tempatnya. Bantahan Abu Bakar ditolak Nabi secara berhikmah.
Dalam riwayat Imam Bukhari, juga daripada Saidatina Aisyah bahawa:“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka Baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan2.
Hiburan adalah fitrah kreativiti insan yang diizinkan secara umum selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan. Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:
Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani)
Struktur kompang
Tidak dapat dinafikan bahawa kompang adalah alat muzik tradisional yang paling popular bagi masyarakat Melayu. Mungkin atas alasan ianya murah, ringan dan mudah dibawa ke mana-mana. Kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing betina, namun walaupun dewasa ini kulit lembu, kerbau malah getah sintetik juga dijadikan kulit muka kompang.
Kompang boleh dikatakan tergolong dalam alatan perkusi (percussion) daripada keluarga alat membranafon. Instrumen perkusi adalah alat muzik yang ditiup atau dipalu, ditepuk, pukul sama ada menggunakan tangana, kayu, atau menghentak antara alat dengan alat. Keluarga instrumen perkusi dipercayai tertua dalam sejarah manusia selepas seni suara suara manusia3.
Kompang mempunyai baloh berbingkai yang diperbuat daripada kayu jenis keras. Lazimnya dari spesis Nangka atau nama saintifiknya "Artocarpus Heterophylius"4.
Ada juga yang menggunakan kayu pokok cengal dan palau. Penggunaan kayu yang kuat akan memastikan balon kompang tidak pecah atau retak apabila terjatuh5.
Pada kebiasaannya, seurat rotan akan diselit dari bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang, bertujuan menguatkan bunyi kompang. Kini, gelung plastik turut digunakan.


Terdapat dua bahagian kompang iaitu bahagian muka (ada kulit) dipanggil belulang. manakala, bahagian badan (kayu) dipanggil baluh. Kompang perlu diletakkan penegang atau dipanggil sedak iaitu sejenis rotan yang diletakkan antara belulang dan baluh, sedak ini diletakkan bertujuan untuk menegangkan bahagian belulang dan menyedapkan bunyi kompang apabila dipalu6.
Kompang mempunyai ukuran garis pusat antara 20 hingga 37.5 sentimeter dan ketinggian sehingga 12 sentimeter. Ia paling banyak dimainkan di negeri Johor, Selangor dan Perak. Kalau dahulunya alat muzik ini hanya dimainkan di majlis perkahwinan, berkhatan, dan menyambut pembesar tetapi penggunaannya diperluaskan di sekolah, institusi pengajian tinggi dan ketika menyambut tetamu atau pemimpin dalam sesuatu majlis.
Asal usul alat kompang
Kompang dikatakan berasal daripada Parsi dan digunakan untuk menyambut kedatangan Rasulullah S.A.W.
Gendang pada zaman Rasulullah di Madinah dipanggil duf dan ia berbentuk silinder. Namun maksud gendang (Duf) yang disebut dalam hadis Nabi juga membawa maksud kompang iaitu alat paluan.
Kompang juga digunakan untuk menaikkan semangat tentera Islam ketika berperang. Alat muzik ini dibawa ke Nusantara oleh pedagang Arab yang datang berdagang. Mereka memperkenalkan alat muzik ini dan mendapat sambutan yang hebat di kalangan penduduk Tanah Melayu terutamanya orang-orang Jawa.
Pelbagai jenis kompang kahwin
Kompang terdiri daripada pelbagai saiz. Kompang yang dimainkan di Johor tidak mempunyai saiz yang tertentu. Ada yang mempunyai ukuran garis pusat sepanjang 22.5 sentimeter, 25 sentimeter, 27.5 sentimeter dan ada juga yang mencecah sehingga 35 sentimeter.
Kebanyakan pemain di Johor menggunakan kompang yang tidak sama saiznya. Hal ini demikian kerana kompang yang pelbagai saiz menghasilkan bunyi yang berbeza. Ada yang bertona tinggi dan ada yang rendah. Pemain di negeri Perak dan Selangor pula menggunakan alat muzik sampingan yang lain untuk mempelbagaikan bunyi seperti gedombak, marakas, tamborine, rebana dan sebagainya. Di Sabah ada kumpulan yang menggunakan drum bass sebagai alat tambahan permainan mereka.
Lagu dan Irama kompang kahwin
Cara memalu kompang bermula dengan cara memegangnya. Kompang dipegang dengan sebelah tangan sementara sebelah tangan lagi memukulnya. Kompang boleh dimainkan secara duduk atau berdiri. Pada asasnya, kompang menghasilkan dua bunyi iaitu ‘pak’ dan bunyi ‘bung’. Pukulan ‘pak’ mestilah lebih berat daripada bunyi ‘bung’.
Bunyi ‘pak’ dihasilkan apabila bahagian tengah kompang dipalu dengan tapak tangan sambil jari tangan terbuka. Kekuatan bunyi adalah hasil daripada pukulan tapak jari. Untuk menghasilkan bunyi yang tepat, tapak ibu jari dan jari anak menyentuh kulit mendahului jari yang lain semasa memukul.
Bunyi ‘bung’ dihasilkan apabila bahagian tepi permukaan kompang iaitu 1/3 daripada permukaan dipukul dengan jari. Manakala kesemua jari berkeadaan tertutup semasa membuat pukulan7.
Dalam satu pasukan kompang para pemain dibahagikan mengikut rentak untuk bermain. Kumpulan Melalu memainkan rentak asas. Kumpulan Menyilang pula memainkan rentak silihan (up beat) kepada pukulan Melalu.
Kumpulan Meningkah menjadi penghias rentak yang dimainkan paluan antara kumpulan Melalu dan Menyilang.
Setiap persembahan kompang terdiri dari tiga bahagian pukulan iaitu;
Pukulan ‘Mula’ untuk memainkan sesebuah lagu diikuti pukulan lagu dan pukulan ‘Mati’ untuk mengakhiri sesebuah lagu.
Pukulan meningkah boleh dikategorikan dalam pukulan rentak menganak kerana pukulan dalam tempo yang sama cuma berbeza dari segi bilangan paluan yang dipalu. Sesetengah persatuan kompang megkelaskan rentak meningkah ini sebagai rentak menganak pada tahap-tahap tertentu.
Rentak yang paling mudah dipalu ialah rentak melalu/lagsung dan rentak yang paling sukar dipalu ialah rentak menganak. Bagi pelajar yang baru melibatkan diri dalam kumpulan kompang, pukulan yang pertama yang akan diajar ialah rentak melalu/langsung dan apabila para pelajar telah dapat tempo rentak tersebut mereka akan diajar rentak asas yang kedua iaitu rentak menyilang8.
Pemain rentak melalui juga dikenali sebagai "Pembolong" bagi sesetengah tempat9.


Kulit tiada, filem X-ray penggantinya
Akhir-akhir ini kreativiti manusia menghasilkan jenis kompang yang lebih ringan, cantik dan berbunyi merdu. Sekarang telah tertubuh kumpulan kompang menggunakan filem X-ray sebagai kulit kompang!
Hal ini tersiar dalam Utusan Malaysia pada 18 November 2012 yang lalu. Penciptanya yang juga merupakan ketua kumpulan kompang tersebut dengan lebih kurang 60 ahli di Melaka, adalah Encik Suman Ahmad.
Beliau yang sering keluar masuk hospital akibat penyakit yang dihidapinya mendapat filem X-ray setiap kali keluar hospital dan untuk tidak membazir dengan segala filem X-ray tersebut, Suman yang menghadapi masalah menukar kulit kompang setiap kali koyak mula menggunakan filem X-ray sebagai kulit.


Beliau cuba menggunakan filem X-ray kerana kulit lembu sukar didapati selain harganya yang agak mahal.
Selain itu kulit lembu memakan masa yang lama untuk diproses kerana perlu dikeringkan sebelum boleh dipasang pada kompang.
Lebih buruk jika pada musim hujan, kulit lembu tidak dapat dikeringkan dan proses menggantikan kulit kompang tidak dapat dilakukan sedangkan permintaan persembahan tidak berkurangan.
Walaupun pada mulanya sukar untuk mendapatkan bunyi yang setanding dengan kompang kulit lembu tetapi selepas tiga atau empat kali percubaan, beliau mendapati bunyi yang dihasilkan dari filem X-ray lebih nyaring dan kualitinya lebih tahan lama.
Berbeza dengan kompang biasa, kompang X-ray ini tidak boleh diletakkan di bawah cahaya matahari tetapi boleh pula diletakkan dalam hujan10.
Penutup
Kerancakan kemajuan infrastruktur, ‘maddiyah’ sedikit sebanyak akan menghakis budaya dan tinggalan adat bermanfaat yang ada dalam khazanah buana budaya Melayu kita. Terlalu banyak kajian berkenaan kesan dan perubahan perilaku, gaya hidup dan pandang sarwa melayu yang berubah seiring dengan globalisasi dan dalam dunia yang dikenali sebagai pasca moden ini. Tulisan-tulisna sebegini sedikit sebanyak cuba menyuntik rasa ingin tahu masyarakat berkenaan adat dan budaya paluan kompang kahwin yang kian terpinggir. Semoga adat yang baik ini terus kekal hingga ke akhir zaman.
Muhammad Nuruddin bin Bashah
Hadapan 360 MKJ Kampung Terang
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang
.
3 The Oxford Companion to Music, Edisi ke-10, (halaman 775)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...