Pembaca Setia

Saturday, December 8, 2012

Krisis bekalan makanan dunia waspadakah kita?


Krisis bekalan makanan dunia waspadakah kita?
Muhammad Nuruddin Bashah
Ramai rakyat belum sedar makanan yang sedang mereka hadap seharian itu sedang mengalami krisis. Isu ini telah sedekad dewacanakan. Kemuncaknya krisis makanan dunia kini sudah sampai ke tahap perbincangan PBB dan amaran yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon baru-baru ini adalah petanda seriusnya isu ini.
Kini;
  • Beberapa jenis tanaman kontan seperti gandum, jagung dan beras susut secara mendadak di negara pengeluar utama.
  • Beberapa negara Asia turut merasainya meskipun kebanyakan mereka adalah negara pengeluar beras utama dunia.
  • Kerajaan Thailand dan Filipina terpaksa mengeluarkan stok simpanan beras negara untuk diagihkan kepada rakyatnya.
  • Di Indonesia, keadaan menjadi gawat apabila negara itu terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barang seperti gula, gandum dan minyak masak sehingga memberi tekanan kepada kehidupan rakyatnya.
  • Negara Arab berdepan dengan kenaikan harga barang keperluan terutama harga gandum yang naik dua kali ganda. Yaman, negara Arab yang dianggap paling miskin berdepan dengan kenaikan harga barang sehingga 20%.
Malaysia tidak ketinggalan dan bakal dihantui oleh krisis kekurangan bekalan makanan. Malah baru-baru ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memberi amaran bahawa  Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku krisis bekalan makanan global pada 2030.
Tambah beliau lagi, langkah berjaga-jaga penting kerana statistik terbaru Bank Dunia menunjukkan peningkatan ketara harga barang makanan global sejak 1995 iaitu antara 80 hingga 90% dan dijangka terus meningkat sehingga  tahun 2030.

Antara langkah R&D yang dijalankan oleh kerajaan untuk menangani krisis makanan antaranya (Berita Harian 22 November 2010) ;
  • Kerajaan telah belanja RM4 bilion untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi meningkatkan jaminan bekalan dan keselamatan bahan makanan di negara ini.
  • Kementerian Sains belanja M2.7 bilion bagi membantu negara membuat persediaan awal menghadapi krisis 2030.
  • RM115.9 juta dibelanjakan untuk menjayakan program R&D dan bagi komersial tanaman makanan baru berasaskan bioteknologi.
  • RM67 juta pula untuk melaksanakan 18 projek di bawah Dana Tekno dan RM48.1 juta diperuntukkan untuk menjayakan 305 projek di bawah Dana Sains.
  • Selebihnya, RM800,000 dimanfaatkan untuk menjayakan lima projek di bawah Dana Inovasi.
Satu dari keperluan asas manusia adalah makanan. Tanpa makanan manusia tidak dapat meneruskan hidup. Makanan yang baik bukan sahaja mengambil kira kandungan zat yang ada dalam makanan tersebut tetapi juga dari segi bersih dan halal turut perlu diberi penekanan.

 Menyediakan bekalan makanan halal dan mencukupi kepada negara juga sebahagian dalam melaksanakan suruhan Allah S.W.T. Rakyat perlu mendapat akses untuk mendapatkan makanan. Berdasarkan polisi FAO yang disiarkan dalam Food And Agriculture Organization Of The United Nations (1998), The Right To Food In Theory And Practise, sekuriti makanan boleh dicapai sekiranya tiga elemen dipenuhi, iaitu:
  • Jaminan bahawa wujudnya makanan yang mencukupi.
  • Penawaran makanan yang stabil.
  • Sesiapa sahaja yang memerlukannya dapat memperolehnya dengan mudah.
Perkataan makanan atau al-Ta‘am dalam bahasa Arab ialah kata plural bagi ta‘ama yang bermaksud “segala yang dimakan”. Perkataan ini banyak kali disebut dalam al-Qur’an dan hadith. Ibn al-Athir pula lebih cenderung merujuk perkataan makanan kepada makanan asasi seperti gandum, tamar, sya‘ir dan sebagainya.

Bermula pada zaman Nabi Adam lagi, penekanan terhadap sekuriti makanan dititikberatkan. Nabi Adam dan keluarganya telah menjadikan bercucuk tanam dan memelihara binatang sebagai sumber bekalan keluarga mereka. Anak baginda, Qabil telah mengusahakan pertanian, manakala Habil pula menternak binatang. (Jurnal Syariah, Jil. 17, Bil. 2 (2009) 299-326)

Islam juga memiliki peruntukan dalam hal sekuriti bekalan makanan malah ia juga merupakan isu pokok dalam Islam kerana menepati kehendak dharuri dalam awlawiyat amal kepimpinan umat Islam.
Dalam Prosiding Perkem V, Jilid 2 terdapat tulisan memetik pandangan  Ahmad Subhi Ahmad Mustafa al-„Iyadi, bahawa di dalam bahasa arab sekuriti makanan disebut al-Amn al-Ghiza’i. Dari segi bahasa “al-Amn” bermaksud keselamatan, sekuriti atau keamanan lawannya adalah ketakutan atau ketidakselamatan.14 Firman Allah S.W.T. :

Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.” ( Surah Quraisy  : 4)

Manakala “Al-Ghiza’i” pula bermaksud setiap apa yang dimakan atau diambil manusia daripada makanan dan minuman. Sekuriti makanan dalam Islam adalah akses bagi semua penduduk terhadap makanan halal dan toyyibah yang mencukupi untuk kehidupan yang sihat dan aktif. Semestinya Islam menitik beratkan elemen halal dan toyyibah sebagai elemen yang sangat ditekankan dalam sumber makanan dalam Islam.
Menurut SM Mohamed Idris Presiuden CAP, bekalan makanan dunia adalah mencukupi kerana berdasarkan Peretubuhan Pertanian dan Makanan (FAO) pertanian dunia menghasilkan 2720 kilo kalori setiap orang sehari di mana purata seseorang perlukan hanya 2000 kilo kalori sehari. Yang menjadi masalah global hari ini adalah kemiskinan yang menyebabkan golongan ini tidak mampu memiliki makanan tersebut demikian tulisannya yang disiarkan oleh Utusan Pengguna Mac-April 2011.

CAP juga berangapan pembangunan ala kapitalisme yang rakus menjarah tanah pertanian melalui pembangunan perumahan mewah dan sebagainya menyebakan alam pertanian tidak lestari lagi. Pembangunan tidak mapan sebegini hanya akan menyebabkan krisis makanan lebih membarah lagi.

Pada tahun 1972-1974, keluaran makanan, bekalan dan penggunaan pada peringkat negara adalah pada tahap yang normal. Walau bagaimanapun 50 hingga 200 ribu penduduk mati kebuluran. Mereka mati kerana tidak mampu membeli makanan. Dari perspektif negara-negara maju, kajian oleh LeBlanc  mendapati bahawa negara yang maju seperti Amerika Syarikat juga mengalami masalah berkaitan sekuriti makanan, iaitu pada tahun 2005 didapati terdapat 10.7 % daripada rakyatnya berada dalam keadaan yang tidak terjamin dari segi sekuriti makanan mereka. Keadaan ini disebabkan oleh kemiskinan yang dialami oleh mereka.
Menurut pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti  Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mazlin Mokhtar terdapat 3 faktor utama berlakunya krisis makanan di peringkat global.
  • Pertambahan bilangan penduduk dunia serta kekurangan tanah yang diperuntukkan bagi sektor pertanian.
  • Kegiatan perindustrian yang aktif sehingga menyumbang kepada pencemaran selain perubahan cuaca dunia.
  • Petani tidak  mempraktikkan amalan pertanian moden. Ini termasuk penggunaan teknologi terkini dan memaksimunkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil pengeluaran.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya Dr. Zarinah Yusof berkata, krisis yang melibatkan bahan makanan seperti beras dan tepung itu jika tidak dibendung akan memberi kesan terhadap ekonomi negara.

Kata beliau keadaan cuaca juga memainkan peranan selain kenaikan harga minyak dunia. Tindakan Amerika memajukan biofuel menggunakan bahan makanan telah mewujudkan satu konflik. Selain satu pembaziran, ia juga antara penyebab krisis makanan dunia berterusan.

Peningkatan permintaan ke atas biofuel mengurangkan bijirin untuk makanan dan tanah untuk tanaman makanan. Pembukaan tanah baru –persaingan antara tanaman untuk fidstok biofuel vs makanan.
Polisi beberapa negara mewujudkan permintaan ke atas biofuel,US20% (2030),EU 5.75% (2008), Japan 10% (2010), Malaysia 5% (2007), Filipina 5% ethanol 2% biodiesel (2009) (Strategi Baru ke arah Sekuriti Makanan di Malaysia. Strategi MalaysiaAnjuran Bersama MOAAnjuran MOA--UPMUPM--ISIS 14 Julai 2008, PICC, Putrajaya).

 Kebanyakan kajian hanya melihat aspek atau faktor persekitaran yang seolah-olah hanya dijadikan alasan untuk melepaskan tanggungjawab menyediakan bekalan makanan global. Sebagai contoh alasan fertiliti dan alasan pemanasan global hanya menyalahkan keadaan dan zaman tanpa melihat kesilapan manusia mengurus alam secara lestari. Perhatikan hujah-hujah setersunya.

Budaya pemakanan rakyat yang tidak baik
Antara fenomena yang boleh dikatakan krisis dalam sektor pemakanan adalah kebergantungan rakyat malaysia terhadap makanan import. Budaya ranggi, sukakan saingan dengan budaya makan global dan simpton kebudayaan globalisasi yang menjangkiti tabiat rakyat kita menatijahkan hal ini berlaku.
Ini antara faktor mengapa kekayaan dunia tidak teragih secara adil. Rakyat kita tidak akan bersungguh menyediakan makanan sendiri kerana mereka ketagihkan sisa-sisa makanan globalisasi melebihi makanan ruji masing-masing.
Menurut Md Shukri Shuib pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa UUM dalam makalah Milenia Muslim Oktober 2012, negara berbelanja RM 92 juta setiap hari untuk menyediakan bekalan makanan import memperlihatkan seriusnya kebergantungan makanan luar terutama makanan yang elit dan mewah. Bekalan makanan sebegini bukan bertujuan memenuhi keperluan tetapi ia hanya memenuhi kehendak dan selera rakyat Malaysia. Dianggarkan pada tahun 2011 telah RM 27.93 bilion wang keluar akibat import makanan.
Tiada kebuluran berlaku di Malaysia walaupun FAO telah mengatakan pada bulan September 2010, jumlah orang yang mengalami kebuluran di seluruh dunia seramai 925 juta orang.

Rakyat yang gemar mengambil makanan mewah tanpa memikirkan bebanan negara perlu ingat sehingga kini Agensi Makanan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengesahkan bahawa 166 juta orang di 22 buah negara di dunia ini menghadapi kebuluran atau kesukaran untuk mendapatkan makanan yang mencukupi.

Menurut Presiden Teras Pengupayaan Melayu Haji Azmi Abdul Hamid, kebanyakan orang Melayu bandar dan pinggir bandar sudah dibudayakan dengan kehidupan moden. Mereka lebih gemar berbelanja di supermarket. Kebanyakan mereka mementingkan status dan penampilan dari segi pakaian, perhiasan, kereta dan lebih terpengaruh dengan jenama, walaupun kadangkala berbelanja melebihi pendapatan. Sesetengahnya pula lebih suka mengunjungi restoren mewah seperti Starbuck atau Kopitiam demi status dan gaya hidup mewah. (http://temanteras.wordpress.com/futhuhat/masalah-sosio-budaya-dan-pendidikan-melayu/)
Kini hampir
·         16,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari akibat dari masalah yang berkaitan dengan kekurangan makanan [‘Where and Why Are 10 Million Children Dying Every Year?’ The Lancet 361:2226- 2234( 2003)].
·         920 juta kelaparan seluruh dunia, 1/3 adalah kanak-kanak.
·         Pembaziran makanan di Perancis sebenarnya mampu menampung makanan di Congo dan Ethiopia.

Sikap manusia mengurus kekayaan dunia adalah antara punca kegawatan bekalan makanan menjadi topik besar hari ini. Perhatikan fakta daripada Utusan Pengguna Januari-Februari 2010 di bawah;
  • Kira-kira 7.34 juta tan sisa pepejal dihasilkan di Malaysia pada tahun 2005.
  • Dijangka 30 000 tan sehari sisa pepejal dihasilkan pada 2020 dan sebanyak 45% adalah sampah makanan.
  • Jepun, rakyatnya membazir ¼ daripada makanan yang mereka ada.
  • Di Singapura sebanyak 558 900 tan pembaziran makanan pada tahun 2008.
  • Rakyat UK membazir makanan 4.1 juta tan setahun.
  • Di Amerika Syarikat 38.3 bilion US Dollar di buang sebagai sisa makanan.
Selera punca kerosakan sumber protein rakyat
Kegemaran rakyat Malaysia terhadap makanan laut dibuktikan dengan kajian-kajian tempatan dan luar negara yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia adalah pengguna kedua terbesar makanan laut di Asia Tenggara dengan anggaran penggunaan sebanyak 1.4 bilion kilogram setahun.
Dalam satu rencana bertajuk Realiti Krisis Makanan Laut yang diisar oleh Sinar Harian 16 Jun 20120, menyatakan bahawa kehendak rakyat Malaysia kepada makanan laut telah mengakibatkan pengurangan sumber makanan berkenaan iaitu melalui aktiviti nelayan yang berlebihan. Satu kumpulan saintis perikanan menganggarkan bahawa dalam masa 40 tahun akan datang, dunia akan kehabisan sumber makanan laut.
Walau bagaimanapun, ia hanya akan berlaku sekiranya pengguna makanan laut tidak mengubah tabiat pemakanan dan tidak didedahkan secara terperinci mengenai spesies makanan laut yang diancam kepupusan. Jika ramai sudah memahaminya, langkah seterusnya adalah dengan mengurang atau mengelakkan terus pengambilannya. Fakta ini mudah dikesan kebenarannya jika kita memiliki statistik jumlah gerai dan restoran yang menyediakan masakan tom yam yang hampir 90% bahannya daripada hidupan laut.
Sebanyak 10%  daripada sumber laut yang ditangkap, terbazir begitu sahaja kerana beberapa faktor antaranya penggunaan alatan yang merosakkan hasil tangkapan ataupun rosak sebelum dapat dipasarkan.
Penggunaan pukat tunda boleh diumpamakan aktiviti tidak bermoral kerana menjadikan ikan-ikan pupus.
Presiden CAP meramalkan bahawa sumber perikanan laut negara ini mungkin pupus dalam tempoh 10 tahun jika pukat tunda tidak diharamkan.Kerajaan perlu mengikut jejak Hong Kong, Indonesia, Palau dan Belize yang sudah mengharamkan penggunaan pukat berkenaan.

Malah menurut data Perikanan Dunia (World Fish), menunjukkan bekalan ikan di perairan negara menurun antara 80-90%  dan salah satu punca utamanya ialah akibat kegiatan nelayan pukat tunda yang menarik pukat yang besar dan berat di sepanjang dasar laut. Plat logam besar dan roda getah yang terikat pada pukat bergerak di sepanjang dasar laut dan memusnahkan apa saja yang berada di dalam laluannya. (Berita Harian 29 Oktober  2011)

Jika pada tahun 1980-an, kerajaan pernah bercadang mewajibkan nelayan pukat tunda menggunakan lubang jaring bersaiz 40 mm bagi pukat tunda tetapi ia tidak  dilaksanakan dan nelayan pukat tunda terus menggunakan lubang jaring 25 mm (kira-kira 1 inci), menyebabkan anak ikan turut termasuk ke dalam jaring pukat tunda. Ketidakseriusan ini menampilkan sikap kita terhadap bahana krisis makanan yang bakal menyusahkan kita.
Penggunaan baja ikan kecil untuk penternakan ikan pesisir pantai juga punca kemerosotan baka spesis ikan untuk kita. Anak ikan ditangkap berleluasa. Nelayan yang kerasukan kapitalisme tidak lagi hirau masa depan spesis ikan yang mereka jadikan baja tersebut.

Pentingnya ketelusan dalam penguatkuasaan, integriti dan keseriusan kerajaan memastikan hal sebegini tidak berlaku. Wang jutaan ringgit untik RnD tidak akan berguna sekiranya kerajaan tidak menguatkuasakan unsang-undang pencegahan kepupusan sumber prortein rakyat Malaysia ini.

Bagaimana elak kebergantungan makanan import?
Kita perlu memikirkan untuk mengurangkan 30 peratus daripada keperluan beras negara atau kira-kira 700,000 tan metrik setahun yang diimport dari Thailand dan Vietnam.Pertubuhan Makanan Dunia (FAO) melaporkan sebayak 36 buah negara terjejas teruk serta menghadapi krisis makanan yang meruncing. Dengan kenaikan harga 20% beras negara kita seharusnya memikirkan semula tentang aktiviti liar mengambil tanah sawah padi untuk pembangunan yang tidak terancang.
Krisis makanan memang boleh menimbulkan kegelisahan rakyat dan hasilnya rusuhan boleh berlaku jika tidak ditangani secara komprehensif. Misalnya sekitar tahun 2008 di rantau ASEAN, Filipina yang paling teruk terjejas apabila harga beras di republik itu telah meningkat 100% sehingga menyebabkan berlaku demonstrasi jalanan membantah kenaikan harga komoditi tersebut.
 Di sesetengah negara, seperti Haiti,  rusuhan menyebabkan lima orang terbunuh dan tercetus pergaduhan antara penjual dan pembeli, apabila pembeli berasa marah kerana penjual menjual beras stok lama pada harga yang tinggi.
Hal ini hanya disebabkan beberapa faktor sahaja berikutan kekurangan bekalan padi apabila Vietnam, pengeksport kedua terbesar dunia selepas Thailand menggantung eksport akibat pengeluaran padinya terjejas teruk kerana kemarau dan serangan serangga.

Sejauh mana kawalan harga barang berkesan?
Kawalan barang tidak memberi kesan yang maksima untuk memastikan golongan bawahan memiliki stok makanan yang mencukupi pada harga mampu.
Walaupun pada tahun 2008 dan 2009, kerajaan Malaysia cuba memastikan kawalan ketat terhadap harga beras ternyata ia tidak ‘cukup kuat’ untuk menahan tekanan kenaikan harga beras dunia itu daripada melanda negara ini.
Ini kerana harga beras ditentukan oleh negara pengeluar dan pasaran dunia. Kerajaan tidak dapat mengawal kenaikan harga beras import kerana ia bukan barang kawalan, menyebabkan ia dimanipulasi oleh pihak tertentu termasuk menaikkan harganya. Kerajaan hanya mempunyai kuasa mengawal harga beras tempatan yang mengandungi 15% beras hancur.
Sebagai negara pengimport beras, Malaysia terpaksa  berdepan dengan krisis tersebut kerana negara ini masih mengimport kira-kira 30 % daripada keperluan berasnya atau kira-kira 700,000 tan metrik setahun dari Thailand dan Vietnam. (Utusan Malaysia 20 April 2008)
Krisis makanan menjadi bertambah buruk apabila kenaikan harga minyak mentah dunia yang berterusan sejak pertengahan tahun 2006 daripada kira-kira AS$48 setong sehingga melepasi AS$115 setong telah mengakibatkan berlaku kemelesetan ekonomi dunia, sehingga menyebabkan banyak negara menghadapi kadar inflasi yang tinggi dan harga barangan makanan meningkat mendadak.

Penghuni manusia kian ramai
Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan adalah antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya kekurangan makanan di dunia. Kini dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melebihi 9 bilion orang menjelang tahun 2050.
Hal ini pasti mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kekurangan sumber-sumber yang ada seperti air, tanah pertanian dan sebagainya.

Kepesatan permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi yang sedang pesat membangun seperti di China dan India juga dikatakan menjadi penambah kepada ketidakseimbangan antara pengeluaran makanan dunia (supply) dan permintaan (demand) yang memerlukannya.

Menurut World Resources Institute  jumlah penduduk pada tahun 1961 telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda pada 2005.

Ironinya tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama, telah bertambah 2.8 kali ganda. Ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap individu telah bertambah saban tahun.
Hujah ini bermakna  punca krisis bekalan makanan adalah kerana bertambahnya bilangan penduduk dunia adalah satu penaakulan yang salah.
Golongan kapitalis barat  yang memberikan alasan ini hanyalah golongan obses terhadap  teori Thomas Malthus dari Britain dalam kurun ke 18 di mana beliau menulis sebuah buku bertajuk ‘An Essay on the Principle of Population as it Affects the Future Improvement of Society’ pada tahun 1798.
Di dalamnya dikatakan bahawa populasi manusia akan bertambah secara eksponen manakala pertambahan bahan makanan hanyalah secara aritmetik.

Tatkala  Malthus menulis bukunya di Britain telah mempunyai populasi 11 juta penduduk dan pada kurun 21, populasi penduduk Britain telah bertambah sebanyak 59 juta. Namun begitu, tidak pula terdapat mana-mana berita menunjukkan kebuluran berlaku  di Britain.

Impian dasar Bekalan Makanan negara
Kini dasar baru yang telah dilancarkan pada 2008 pula ialah Dasar Jaminan Bekalan Makanan. Negara kita terpaksa melaksanakan dasar ini untuk berusaha menangani krisis kekurangan bekalan makanan kepada rakyat. Dasar ini sebenarnya tidak perlu jika dasar pembangunan negara ini tidak menjejaskan sektor pertanian. Malah beberapa rancangan pertanian yang dilaksanakan memiliki kelompangan dan ketirisan.
Menurut Asmak Abd Rahman dalam tulisan jurnalnya Jurnal Syariah, Jil. 17, Bil. 2 (2009) 299-326, antara startegi Islam menyelesaikan permasalahan makanan adalah ;
  • Galakan pertanian.
  • Larangan penyorokan barangan.
  • Jual beli bagi yang mampu membeli dan mekanisme agihan makanan
Negara perlu mengambil sunnah Nabi Yusuf. Polisi yang dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s. yang menyediakan simpanan makanan untuk tempoh selama tujuh tahun dilihat sebagai satu garis panduan bagi sesebuah negara untuk memastikan sekuriti makanan terjamin. Semasa Baginda menjadi Menteri Kewangan Mesir, seluruh negara yang berdekatan mengalami krisis sekuriti makanan yang teruk dan memaksa rakyat negara berdekatan seperti bapa Baginda sendiri Nabi Yaqub dari Palestin untuk  datang ke Mesir bagi mendapat bekalan makanan.

Jika benar sekalipun negara ingin mengikuti sunnah Nabi Yusuf menyediakan stok simpanan makanan anggaran beberapa tahun ke hadapan, ia boleh pula menimbulkan krisis lain seperti manipulasi harga barang kawalan kerana kes sorok makanan. Makanan tidak disimpan oleh negara sebaliknya peraih dan pemborong yang menyimpan makanan bukan untuk keperluan rakyat tetapi untuk memanipulasi harga. Jelas, tanpa integriti, kefahaman isu makanan dalam aspek agama dan nilai moral menyebabkan barah salah guna dan penyelewengan boleh berlaku dari tahap peniaga kecil sehinggalah saudagar besar.
Rasulullah bersabda “Tidaklah seseorang melakukan penyorokan kecuali orang yang bersalah.” (Ibn Hanbal, Ahmad bin Muhammad (1995), Al-Musnad)

Menurut Food and Agriculture Organization  2007 rasuah adalah dikenalpasti penyebab kepada  ancaman terhadap  sekuriti bekalan makanan. Inilah permasalahan pokok untuk menyelesaikan masalah krisis makanan  dalaman sesebuah negara.

Isu penguasaan negara luar terhadap sektor makanan juga perlu diambil perhatian serius. Sebelum ini, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) membantah Padiberas Nasional Bhd (Bernas) daripada dikuasai syarikat asing malah industri beras adalah bidang yang amat strategik dalam negara kita.
Bidang strategik seperti pengeluaran beras tidak harus diswastakan sehingga syarikat Wang Tak Co Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, berjaya menguasai saham Bernas sehingga lebih 25 %. BERNAS sebuah syarikat monopoli pada  asalnya sebuah agensi kerajaan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang diswastakan pada 1996.
Jika pihak asing telah menguasai saham, kerja tambahan perlu dilakukan oleh kerajaan. Kerajaan kini harus mengawal pihak pemegang saham agar keputusan yang diambil oleh mereka tidak dapat memanipulasi masalah kekurangan bekalan beras.
Malah FOMCA juga mengakui barangan makanan asas di Malaysia tiada stok penimbal menyebabkan krisis tidak cukup barang boleh berlaku. Malah lebih buruk FOMCA juga mendedahkan tiada amaran awal kerajaan terhadap kenaikan harga menyebabkan jika import harga naik, pembekal alternatif tidak dicari.
Menurut FOMCA juga bagi memastikan bekalan bahan makanan yang diimport sentiasa mencukupi, kerajaan juga perlu mewujudkan stok penimbal yang mencukupi untuk tempoh 3 bulan hingga 6 bulan. Keadaan semasa di negara pembekal utama bahan makanan ini sentiasa dipantau bagi memastikan keadaan di negara tersebut tidak menjejaskan bekalan bahan makanan. Jika ini berlaku, maka usaha perlu dilakukan untuk mendapatkan bekalan daripada negara lain yang tidak terjejas.( http://www.konsumerkini.net.my)
Sikap bersungguh, komitmen rakyat dan kerajaan serta badan tertentu amat diperlukan untuk memastikan bekalan makanan bernutrisi dan cukup kepada rakyat berjalan dengan lancer demi masa depan kita bersama.

Muhammad Nuruddin bin Bashah
31 Laluan Permai Puteh 8,
Taman Siputeh Permai,
31560 Siputeh, Perak. 017 6291368





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...